suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Lama tak berempat, Forteen akhirnya kembali bersatu... Izzue terharu peminat lama masih setia menyokong

Dari kiri: Ameer, Ariz, Izzue dan One teruja dapat bertemu dengan peminat.

ANGGOTA kumpulan Forteen, One menyifatkan acara Forteen Reunion sebagai satu pengalaman cukup bermakna apabila berpeluang kembali membuat persembahan bersama tiga lagi anggota selepas sekian lama.

One atau Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 37, berkata pertemuan semula itu mengembalikan nostalgia ketika mereka mula-mula mencipta nama dalam industri hiburan, ketika masing-masing masih berusia 20-an.

“Alhamdulillah, setelah sekian lama dah tak buat persembahan bersama (keempat-empat anggota), kami rasa seperti kembali pada zaman awal-awal masuk ke dalam industri hiburan. 

“Waktu itu semua pun masih dalam usia 20-an dan hari ini kami teruja dapat berkumpul semula dengan peminat-peminat yang dari awal memberikan sokongan,” katanya kepada mStar. 

Izzue (dua dari kanan) terbuka untuk bekerjasama dengan Forteen.

Sementara itu, Izzue Islam pula mengakui terharu apabila mendapati masih ramai peminat setia mengikuti perjalanan Forteen sejak kumpulan itu mula muncul dalam industri seni.

Menurutnya, dia pada awalnya menyangka persembahan berkenaan hanya akan menarik perhatian peminat baharu, namun kehadiran wajah-wajah yang sudah lama menyokong mereka membuktikan Forteen masih mempunyai tempat di hati peminat.

“Masih ada lagi wajah-wajah awal yang kami muncul dalam industri seni, sampai sekarang dah 15 tahun ingatkan peminat baharu saja tetapi rupanya ada juga wajah sama yang masih menyokong kami. 

“Bagi kami, persembahan ini seperti percubaan dan reunion yang berjaya. Ia lebih kepada acara reunion untuk peminat yang mengenali kumpulan Forteen diawal kemunculan kami,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan macam adik-beradik, tak lengkap Forteen tanpa Izzue Islam... Kolaborasi ubat kerinduan peminat

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih selesa jalin kerjasama, Izzue Islam beri bayangan tidak akan kembali bersama kumpulan Forteen

Mengulas perancangan untuk kembali bekerjasama dengan Forteen, Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, berkata kumpulan itu masih aktif dan sentiasa terbuka untuk menghasilkan karya baharu bersama.

Katanya, pelancaran single Noktah Epilog Cinta menerusi projek Forteen X Izzue Islam pada tahun lalu membuktikan hubungan kerjasama mereka masih diteruskan.

“Sebenarnya Forteen memang masih lagi aktif, tahun lalu kami baharu sahaja lancarkan single ‘Forteen X Izzue Islam’ dengan lagu Noktah Epilog Cinta. Saya memang sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Forteen dan disebabkan itu wujudnya Forteen X Izzue Islam. 

“Saya sentiasa mahu meraikan Forteen dan peminat kami. Kalau buat live di media sosial, semua orang masih ingat lagu-lagu Forteen. Bila jumpa pun peminat tanya bila nak keluar lagu baharu. 

“Untuk perancangan baharu kami harap peminat dapat bersabar dan akan dimaklumkan kelak. Nantikan single terbaharu, insya-Allah doakan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Forteen teruja berpeluang menghiburkan peminat di Aneka Walk, Shah Alam.

Acara Forteen Reunion yang berlangsung di Aneka Walk, Shah Alam Sentral pada malam Sabtu menyaksikan kumpulan itu menghiburkan peminat menerusi tujuh buah lagu termasuk Dekat Tapi Jauh, Kita dan Berdua Bersatu.

Selain persembahan muzik, Forteen turut mengadakan beberapa aktiviti permainan bersama peminat sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi lebih dekat dengan keempat-empat anggota kumpulan berkenaan.

Pada 2018, Izzue mengumumkan pengundurannya daripada Forteen susulan berlaku salah faham dalam kumpulan.

Bagaimanapun, pada 2025, Izzue kembali bekerjasama dengan Forteen menerusi pelancaran single Noktah Epilog Cinta sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemelut dalaman kumpulan yang ditubuhkan di bawah KRU Music pada 2011.

Selain Izzue dan One, Forteen turut dianggotai Ameer dan Ariz Lufias.

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain